Friday, December 19, 2008

Harga Sepasang Kasut

Tergelak baca cerita ujian mengenai kasut oleh kakcen dalam blog dia terlintas di kepala seminggu ni cerita hangat di negara Iraq tentang balingan kasut oleh seorang wartawan di Iraq yang ditujukan kepada Presiden Amerika, Bush. Aku fwd jer kesan dari sepasang kasut dan rentetan dari peristiwa tersebut. Heheh!


KAHERAH - Tindakan seorang wartawan Iraq, Muntazer al-Zaidi membaling dua kasut ke arah Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush menyebabkan dia mendapat tawaran perkahwinan dari Mesir.

Seorang lelaki Mesir, Saad Gumaa kelmarin menawarkan seorang anak perempuannya yang berumur 20 tahun untuk berkahwin dengan Muntazer yang membaling kasut ke arah Bush pada Ahad lalu di Baghdad.

Anak Saad, Amal berkata, dia bersetuju dengan cadangan itu dan menganggapnya sebagai satu penghargaan terhadapnya.

"Saya mahu tinggal di Iraq, lebih-lebih lagi jika saya berkahwin dengan seorang hero," katanya.

Gadis itu merupakan pelajar di fakulti media di Universiti Minya tengah Mesir.

Saad memberitahu bahawa dia sudah menghubungi abang Muntazer, Dergham berhubung tawaran itu.

"Saya tidak mempunyai barangan yang lebih berharga melainkan anak saya untuk diberikan kepada Muntazer dan saya juga bersedia untuk perkahwinan itu," katanya.

Bagaimanapun, keluarga Muntazer masih belum memberi sebarang jawapan berhubung tawaran lelaki tersebut.

Muntazer, 29, ditahan selepas melemparkan dua kasut ke arah Bush dalam satu sidang media di Baghdad pada Ahad lalu.

Dalam budaya Arab, tindakan melempar kasut dianggap untuk menghina seseorang.

Tindakan itu menobatkan dia sebagai hero oleh warga Arab yang kebanyakannya membenci Bush kerana menyerang Iraq pada 2003.

Dia membaling kasut bagi mewakili keluarga yang kehilangan orang tersayang selepas AS menyerang Iraq pada 2003 sehingga menyebabkan beribu-ribu rakyat tidak berdosa terkorban. - Agensi


Ramai tukang kasut mengaku

BAGHDAD - Tukang kasut di seluruh Asia Barat berlumba-lumba untuk menaikkan nama masing-masing dengan mendakwa bahawa mereka ialah pembuat kasut bersaiz 10 yang digunakan untuk membaling Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush, lapor sebuah akhbar semalam.

Pembuat kasut dari Turki, Ramazan Baydan berkata, dia menghasilkan reka bentuk kasut yang dilontarkan oleh wartawan Iraq, Muntazer Al-Zeidi ke arah Bush pada Ahad lepas itu.

Sejak pengakuan itu disiarkan oleh media Turki, tempahan yang diterima dari Iraq untuk membuat kasut itu meningkat sebanyak dua kali ganda.

Akhbar Turki, Yeni Safak menyiarkan dakwaan Ramazan bersama-sama gambar kasut itu di bawah tajuk berita, 'Buatan Turki.'

Isu tersebut bertambah kusut apabila akhbar as-Safir di Lebanon turut menyiarkan berita muka depan yang mendakwa bahawa pembuat kasut itu ialah rakyat negara itu.

Bagaimanapun, abang Muntazer, Udai pula berkata, adiknya membeli kasut itu di Iraq dan ia bukan barangan yang diimport dari China seperti kebanyakan kasut di negara Asia Barat.

"Kasut itu seratus-peratus buatan Iraq dan bukan diimport dari Turki atau China," katanya. - Agensi


COSTA DO SAUIPE - Perbuatan seorang wartawan televisyen Iraq, Muntazer al-Zaidi membaling kasut ke arah Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush mencetuskan fenomena unik di seluruh dunia.

Selain tunjuk perasaan yang dilakukan di kebanyakan negara bagi menyatakan bantahan terhadap Bush yang melancarkan serangan di Iraq pada 2003, tindakan Muntazer itu turut menjadi bahan jenaka.

Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva kelmarin berjenaka kepada para wartawan supaya tidak melempar kasut ke arahnya.

"Jangan lempar sebarang kasut," katanya kepada sekumpulan wartawan.

Jenaka da Silva tersebut mengundang ketawa di kalangan petugas media yang membuat liputan di Sidang Kemuncak Amerika Latin di sebuah resort tepi pantai di Bahia, Brazil.

"Keadaan di sini sangat panas dan sekiranya anda membuka kasut ia bakal mengeluarkan bau busuk," katanya.

Sementara itu di Afghanistan, sebuah pertunjukan komedi turut melakonkan semula aksi pembaling kasut tersebut ke arah Bush.

Pementasan itu berjudul Zang-i-Khatar tetapi kelainannya adalah muka Bush terkena kasut.

Bush tidak popular di kalangan kebanyakan penduduk di Afghanistan di mana tentera AS dan sekutu-sekutunya pernah menyerang negara itu bagi menggulingkan rejim Taliban.

Sementara itu, ejen-ejen perisikan memusnahkan sepasang kasut yang dibaling oleh Muntazer itu bagi memastikan ia tidak berisi bahan letupan.

"Kasut-kasut itu diperiksa oleh agensi perisikan AS dan Iraq dan dimusnahkan selepas itu," kata seorang hakim yang mengadili kes terhadap Muntazer. - Agensi

1 comment:

lupekanje said...

haha...tk pasan lak N3 tu kua masa heboh pasal baling kasut kat Bush...