Friday, December 5, 2008

Kejadian Langit dan Bumi Daripada Asap

Kejadian Langit dan Bumi Daripada Asap


Galaksi NGC ke-4414.

Dalam surah al-Fussilat ayat 11 Allah berfirman yang bermaksud,

“Kemudian Dia menuju ke langit dan langit ketika itu berbentuk asap lalu Dia berkata kepadanya dan bumi, ‘Datanglah kamu berdua dengan tunduk atau terpaksa’. Keduanya menjawab, ‘Kami datang dengan tunduk’.

Langit dan bumi di peringkat awal dahulu adalah kosong daripada sebarang objek di langit. Yang wujud ialah asap. Daripada asap ini lahirlah bintang-bintang serta galaksi disusuli dengan kelahiran sistem suria dan bumi.

Berhubung dengan ini, dalam kitab Al-Asas fit Tafsir, As-Syeikh Said Hawa berkata,

“Sesungguhnya memang sudah ada suatu keyakinan bahawa sebelum terjadinya bintang-bintang, keadaan di angkasa raya adalah dalam bentuk gas seperti asap. Pandangan seperti ini dapat diterima sebagai sahih kerana ia begitu hampir dengan maksud kalimat dukhan dalam al-Quran.”

Kalimat yang digunakan dalam ayat ini yang melambangkan asap ialah dukhan. Dalam bahasa Inggeris dukhan bermaksud smoke. Penggunaan kalimat asap atau smoke ini memang selari dengan penemuan semasa kerana asap lahir dari satu suasana yang panas dan suasana di peringkat awal kejadian alam sememangnya panas.

Ketika menceritakan tentang asap ini, para saintis mengaitkannya dengan gas-gas (terutamanya hidrogen dan helium) yang wujud seperti awan tebal di peringkat awal dahulu.

Para saintis menyifatkan asap daripada gas ini sebagai dark clouds, clouds of gas, fog of neutral hydrogen and helium. hot mass of gas dan yang seumpamanya. Ia bermaksud gas-gas di peringkat awal kejadian langit dan bumi wujud dalam bentuk seperti “awan-awan hitam, awan-awan daripada gas, awan-awan gas daripada hidrogen dan helium, gas bersuhu tinggi” dan yang seumpamanya.

Kejadian langit dan bumi daripada asap menyentuh tentang kejadian objek-objek daripada asap. Oleh sebab bumi merupakan satu objek maka langit yang difirmankan Allah juga merupakan objek-objek seperti bintang, galaksi dan seumpamanya. Kesemua objek ini lahir daripada asap.

Salah satu kajian yang dilakukan dalam bidang ilmu astrofizik ialah mengenal pasti keadaan alam selepas berlakunya peristiwa Big Bang. Kajian menunjukkan, pengembangan alam berlaku dalam keadaan suhu yang tinggi di peringkat itu.

Selepas masa berlalu lebih kurang tiga minit proses penyejukan pula berlaku. Keadaan ini memungkinkan kelahiran proton dan neutron dan percantuman kedua-duanya melahirkan nukleus. Nukleus ini kemudiannya bercantum dengan elektron dan dengan itu lahirlah atom hidrogen dan helium.

Selepas 300,000 tahun berlalu (selepas Big Bang), gas-gas hidrogen dan helium bercantum kesan daripada tarikan graviti dan dengan itu lahirlah gumpalan-gumpalan asap raksasa. Daripada gumpalan-gumpalan asap ini, selepas berlalu masa jutaan tahun, lahirlah bintang-bintang, galaksi, planet dan bumi. Hal ini disebutkan dalam The Vindication of the Big Bang: Breakthroughs and Barriers (Parker, Barry R., Plenum Press, New York, 1993).

Penemuan semasa mengesahkan fenomena kejadian alam daripada asap ini. Dalam artikel bertajuk Gas Clouds In Space: Remnants Of The Big Bang di San Francisco Examiner bertarikh 14 Januari 2000, Keay Davidson melaporkan bahawa para saintis menemui gas hidrogen yang bergerak seumpama awan di kawasan angkasa dengan kelajuan lebih kurang 300 batu sejam. Para saintis berpendapat gumpalan gas ini wujud memenuhi kosmos selepas berlakunya ledakan Big Bang dahulu.

National Radio Astronomy Observatory Socorro, New Mexico.News Release, pada 25 Julai 2003, di bawah tajuk Giant Gas Cloud Made Of Atoms Formed In First Stars, melaporkan tentang satu penemuan yang menunjukkan bahawa di peringkat awal kejadian alam, molekul-molekul gas telah memenuhi angkasa dan daripadanya lahirlah bintang-bintang.

Pada tanggal 25 November 1999, di bawah tajuk Puzzle Of Galactic Evolution Solved pula, Science Daily Online melaporkan satu penemuan oleh para saintis daripada Universiti Wisconsin-Madison. Penemuan ini dianggap mampu menjawab persoalan yang selama ini menghantui pakar-pakar astronomi. Mereka mendapati awan-awan raksasa yang dipenuhi gas memainkan peranan penting untuk melahirkan bintang-bintang dan juga galaksi-galaksi di langit sebelum ini.

Di samping itu sebahagian daripada awan ini menentukan komposisi kimia di galaksi-galaksi dengan menghujaninya dengan gas-gas tertentu dari masa ke semasa. Penemuan ini pada asalnya dilaporkan dalam jurnal Nature.

Tambahan daripada itu, dalam Universe Today Online bertarikh 2 Februari 2005, di bawah tajuk Missing Matter Could Be Clouds of Gas, dilaporkan bahawa pihak NASA di Chandra X-Ray Observatory menemui dua gumpalan awan raksasa yang dipenuhi gas-gas bersuhu tinggi. Kajian pakar-pakar menunjukkan gas-gas seumpama awan ini mampu melahirkan galaksi-galaksi yang mengandungi berbilion bintang.

Kita boleh simpulkan bab ini dengan merujuk kepada laporan yang dibuat oleh Space Telescope Science Institute di [Only Registered Users Can See Links. Click Here To Register]. Di bawah tajuk Star Formation, The Earliest Stars, ia melaporkan, “Pakar-pakar dalam bidang kosmologi meyakini alam ini bermula lebih kurang 15 bilion tahun dahulu dengan ledakan Big Bang. Ia melahirkan gas-gas hidrogen dan helium dalam bentuk gumpalan awan raksasa. Kesan daripada tarikan graviti yang berlaku antara molekul-molekul gas ini, lahirlah bintang-bintang.” Penemuan-penemuan ini dan yang seumpamanya mengesahkan kebenaran al-Quran yang terdapat dalam surah Fussilat ini.

fwdd

3 comments:

lupekanje said...

wah..ni mana punya artikel lu cedok beb???? punyer la panjangg menjelaa..penuh info...
weii..taim wa nyer kedit kosong, lu mesej..taim wa punyer kedit penuh, lu diam...aparaaa.. ni dah kosong balik...hahah..dah duk teruih umah baru ke?

Suri said...

kalau bab artikel panjang berjela, nak naip tu sorry laa.... ceduk jer. gambar tu wa carik n edit tambah. sebenarnya kan apa, simpan untuk modal wat ceramah, heheh!
skrg tgh berjuang laaa last paper next week. 20hb wa ke Kelate... penutup jelajah msia. kak, ader gpp tak sana? tak plan lagi nak stay mana? hotel berbintang2 kut!

Anonymous said...

suri, I nak buat link dr my blog to yours ok? boleh kan... selalu nak masuk sini gi blog kak cen dulu.

selamat hari raya aidil adha, belated heheh